Jangan ugut penjawat awam, Cuepacs beri amaran ahli politik

Jangan ugut penjawat awam, Cuepacs beri amaran ahli politik

Presiden Cuepacs, Adnan Mat menyifatkan ugutan ahli politik terhadap penjawat awam tidak profesional dan tidak wajar.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, setiap perkara yang dilakukan penjawat awam berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme tinggi, tanpa mengambil kira soal politik kepartian. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, tindakan ahli politik menyerang penjawat awam tidak profesional, selepas seorang pemimpin PKR menyatakan Pakatan Harapan (PH) akan “mencari” Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, sekiranya gabungan itu berkuasa.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat menyifatkan ugutan sedemikian tidak wajar.

“Cuepacs memahami terdapat ahli politik yang tidak dapat mengawal emosi semasa berkempen, apatah lagi di hadapan ribuan penyokong masing-masing.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak menghalalkan serangan atau ugutan secara terbuka terhadap penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Rafizi dilaporkan berkata, PH akan “mencari” ketua pesuruhjaya SPRM kerana melakukan “pendakwaan terpilih” dengan menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Adnan berkata, SPRM tidak pernah mendedahkan pegawai mereka melakukan serbuan itu dan ia hanya diketahui umum apabila Rafizi mendedahkannya.

Azam menafikan SPRM menyerbu pejabat Invoke Solutions dan memberitahu The Vibes, “hanya tiga atau empat pegawai kami yang datang, menemubual pekerja dan mengambil beberapa dokumen kewangan berkaitan sebelum pergi”.

Adnan berkata, setiap perkara yang dilakukan penjawat awam berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme tinggi, tanpa mengambil kira soal politik kepartian.

“Atas sebab itu, ahli politik harus menahan diri daripada menyerang penjawat awam dalam kempen mereka.”

Rafizi turut dikritik Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang berkata, itu menunjukkan PH bersedia menyalahgunakan kuasa apabila berkuasa kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.