Jangan tangguh lagi, segera laksana pelan anti-rasuah, TI-M beritahu Anwar

Jangan tangguh lagi, segera laksana pelan anti-rasuah, TI-M beritahu Anwar

Budaya ketelusan dan bertanggungjawab terkandung dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) tidak memerlukan sebarang tempoh tangguh, kata presidennya, Muhammad Mohan.

Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang digubal pada 2019, ketika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Transparency International Malaysia (TI-M) mahu pentadbiran Anwar Ibrahim segera melaksanakan perkara terkandung dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Presidennya, Muhammad Mohan, berkata NACP menyediakan panduan dan petunjuk jelas mengenai inisiatif menambah baik tatakelola dan amalan integriti di peringkat nasional.

“Budaya ketelusan dan bertanggungjawab tidak memerlukan sebarang tempoh tangguh – ia harus diamalkan dengan segera. Inilah yang rakyat harapkan dan negara kita perlu menangani pelbagai cabaran dan menetapkan semula dirinya (reset),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, TI-M memberi jaminan akan menyokong perdana menteri dalam memastikan semua menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan mengamalkan budaya itu.

“Sesiapa yang gagal memenuhi piawaian ini hendaklah diganti. TI-M kekal komited untuk melibatkan diri dengan kerajaan perpaduan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bidang tatakelola yang baik dan integriti,” katanya.

Katanya, NACP merupakan dokumen apolitik digubal pada 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu dan sebahagian besarnya disahkan oleh kerajaan-kerajaan berikutnya.

Semalam, Anwar memberi amaran memecat serta merta mana-mana Jemaah Menteri terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan budaya sedemikian dalam kerajaan perpaduan diterajuinya.

Mohan ketika mengulas lanjut, berkata Anwar perlu menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada menteri dan timbalan menteri dengan “kad laporan” dilaporkan terus kepada rakyat secara telus.

“Kad laporan ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan perpaduan yang dinyatakan untuk menjadi telus, mengamalkan tatakelola baik, membasmi rasuah dan mengamalkan akauntabiliti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.