Usah risau kod QR, warga emas naik bas PJ diminta beritahu pemandu

Usah risau kod QR, warga emas naik bas PJ diminta beritahu pemandu

Warga emas yang tidak celik teknologi hanya perlu memaklumkan pemandu bas dan menunjukkan MyKad untuk membuktikan diri warganegara Malaysia.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis lalu mengumumkan penumpang perlu mengimbas kod QR ketika menaiki bas percuma PJ City Bus.(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan kepada warga emas yang menaiki PJ City Bus tidak perlu bimbang dengan keperluan mengimbas kod QR ketika menggunakan perkhidmatan bas percuma itu.

Ahli MBPJ, Kavin Thayalan memberitahu FMT, warga emas yang tidak celik teknologi hanya perlu memaklumkan pemandu dan mereka akan dibenarkan menaiki bas percuma itu. Mereka hanya perlu menunjukkan MyKad untuk membuktikan diri warganegara Malaysia.

Pemandu bas, katanya, juga akan meminta penumpang yang disyaki warga asing menunjukkan kad pengenalan mereka.

Beliau berkata, langkah itu kerana warga asing perlu membayar tambang menaiki bas berkenaan.

“Ini bukan perkara baharu kerana dasar itu sudah dilaksanakan di kawasan lain di Selangor. Kami antara yang terakhir berbuat demikian. Kami hanya mengenakan bayaran kepada warga asing. Kami tidak mahu memberi subsidi tambang bas kepada mereka, tetapi ia masih percuma buat warga tempatan.”

Khamis lalu, MBPJ mengumumkan penumpang perlu mengimbas kod QR ketika menaiki bas percuma itu, manakala warga asing perlu membayar RM0.90 bagi setiap perjalanan mulai 15 Jan ini.

Jay Jay Denis, pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengesahkan dasar itu sudah dilaksanakan di negeri berkenaan.

“Ia diumumkan pada Nov 2020 untuk bajet negeri 2021. Operasi harian bas dikendalikan pihak berkuasa tempatan dan mereka akan beroperasi mengikut kapasiti sendiri dan persiapan untuk beralih (kepada dasar baharu ini).

“Ini sebahagian matlamat negeri bagi mendigitalkan perkhidmatan kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.