Larangan lori di Cameron Highlands boleh jejas bekalan sayur, kerajaan diberitahu

Larangan lori di Cameron Highlands boleh jejas bekalan sayur, kerajaan diberitahu

ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, larangan itu akhirnya akan membebankan pengguna dan menjejaskan usaha kerajaan meningkatkan sekuriti makanan negara.

Seorang pekerja kebun sayur di Cameron Highlands. Kenderaan komersial membawa hasil ladang dilarang menggunakan sebahagian jalan persekutuan di sana pada tempoh puncak tertentu mulai 7 Feb ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat DAP memberi amaran larangan kenderaan komersial menggunakan jalan persekutuan di Cameron Highlands pada hujung minggu boleh menjejaskan bekalan sayur-sayuran di seluruh negara.

ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, petani perlu menuai dan menghantar sayur-sayuran ke pasaran di seluruh Malaysia dalam masa paling singkat.

Ini kerana, katanya, sayur-sayuran mudah rosak.

“Gangguan ini (terhadap penghantaran sayur-sayuran) akhirnya akan membebankan pengguna dan menjejaskan usaha kerajaan untuk meningkatkan sekuriti makanan negara.

“Oleh itu, saya menggesa Kementerian Kerja raya tidak melaksanakan larangan ini tergesa-gesa dan meminta pandangan semua pihak bagi memastikan bekalan makanan berterusan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Kerja Raya sebelum ini mengumumkan kenderaan komersial dilarang menggunakan sebahagian jalan persekutuan di Cameron Highlands mulai 10 pagi hingga 3 petang pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah bermula 7 Feb ini.

Ho berkata, belum ada perbincangan atau penjelasan sebelum warta berhubung larangan itu dikeluarkan. Katanya, ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan petani dan pengangkut.

Kenyataannya menyusul dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa harga beberapa jenis sayur meningkat lebih 160% bulan lalu.

CAP berkata, peruncit, pengedar dan pemborong memberi amaran harga sayur-sayuran lain mungkin naik dalam beberapa minggu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.