
Ketua Pegawai Eksekutif NovemCS, Murugason Thangaratnam, berkata suruhanjaya itu memerlukan kerjasama awam-swasta dengan semua perusahaan dilibat urus menangani risiko siber.
Ia termasuk syarikat besar, sederhana dan kecil, pelbagai peringkat kerajaan, institusi pendidikan dan individu.
“Mereka mesti dilengkapi untuk memahami peranan boleh dimainkan dalam keselamatan sendiri dan bagaimana tindakan mereka memberi kesan kepada keselamatan siber kepada negara amnya,” katanya kepada FMT.
Demi menjadikan suruhanjaya dicadangkan itu benar-benar cekap, beliau berkata, ia perlu melalui pendengaran awam dan menumpukan perhatian dalam infrastruktur penting dan Internet Benda (IoT).
Ketua Pegawai Eksekutif Vulsan X Corp, Prakash Christiansen, berkata ketika ini setiap industri bekerja dalam silo apabila menyentuh mengenai keselamatan siber, justeru menjadi kekangan dalam pendekatan kesepaduan berhubung perkara itu.
Prakash berkata, penting semua pemain industri dan profesional memberi buah fikiran demi memperkuat kecekapan suruhanjaya dicadangkan berkenaan bagi mengelak percanggahan.
Pada Selasa, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata suruhanjaya keselamatan siber Malaysia dirancang ditubuh sebagai sebahagian memperkasakan keselamatan siber negara.
Fahmi berkata, kementerian merancang bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti CyberSecurity Malaysia bagi tujuan terbabit.
Murugason berkata, tiba masa agensi dipertanggungjawab melindungi ruang siber negara mengambil pendekatan dari sudut pengurusan risiko, berbanding sekadar memberi maklum balas terhadap isu.
Prakash berkata, ancaman keselamatan berubah setiap hari dan keutamaan kerajaan sepatutnya terarah melindungi rakyat Malaysia dan perniagaan menerusi garis panduan betul.
“Bagi individu, kerajaan perlu mempunyai perisian atau sistem melindungi peranti teknologi. Bagi perniagaan, penilaian pelanggaran diperlukan bagi memahami faktor risiko semasa dan di mana kedudukan mereka dalam risiko ancaman siber,” katanya.