
Ketua Polis Rompin, Mohd Azahari Mukhtar, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan Abdullah Satar, 73, yang merupakan peneroka di Felda itu pada 6.40 petang semalam.
“Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lepas dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.
“Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya,” katanya ketika dihubungi.
Azahari berkata, polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta dibantu penduduk berjaya mengeluarkan mayat mangsa.
Katanya, bedah siasat di Hospital Muadzam Shah malam tadi mengesahkan kematian Abdullah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.