
PETALING JAYA: Artis luar negara tidak lagi dibenarkan mengadakan konsert besar dan persembahan langsung sehari sebelum dan pada hari cuti umum Islam mulai 2024, mengikut garis panduan baharu.
Garis panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Persembahan Filem Dan Persembahan Artis Luar (Puspal) menyenaraikan secara khusus hari-hari peristiwa yang mana acara-acara ini tidak dibenar diadakan, lapor The Star.
Ia meliputi keseluruhan bulan puasa, Awal Muharram, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Artis lelaki dari luar negara juga dilarang daripada berpakaian seperti perempuan semasa membuat persembahan.
Kemas kini peraturan tersebut pada 2019 menghalang artis luar daripada membuat persembahan sepanjang bulan puasa. Bagaimanapun, kemas kini peraturan pada 2019 itu tidak menyekat persembahan sehari sebelum cuti umum Islam.
Sementara itu, persembahan akan dibenarkan pada Ogos dan September, kecuali pada 30 dan 31 Ogos, serta 15 dan 16 Sept, untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Sebelum ini, artis luar tidak dibenarkan membuat persembahan dari 25 Ogos hingga 16 Sept.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, semua pihak berkepentingan dan komuniti telah dirujuk mengenai garis panduan baharu itu dan ia akan dikuatkuasakan pada 2024.
Katanya, libat urus dengan pihak berkepentingan akan diteruskan, dan garis panduan itu akan dikemas kini kali kedua sebelum dilaksanakan tahun depan.