Hilang 14 hari di Mekah, jemaah ditemui meninggal dunia

Hilang 14 hari di Mekah, jemaah ditemui meninggal dunia

Rosli Salleh, 62, dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah pada 10 Mac lalu.

Rosli Salleh mengerjakan umrah bersendirian tanpa ejen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jemaah Malaysia, Rosli Salleh, 62, yang dilaporkan hilang di Mekah ketika mengerjakan umrah pada 10 Mac lalu, ditemui meninggal dunia.

Anaknya, Muhammad Farid Rosli menerusi hantaran di kumpulan Facebook, Group Umrah semalam memaklumkan berita duka itu.

“Assalamualaikum. Update (laporan) terbaharu, kami sekeluarga telah menjumpai ayah (Rosli) kami. Beliau telah meninggal dunia di sana (Mekah).

“Kami mohon tolong doakan untuk kesejahteraan ayah kami di sana, mohon kebaikan untuknya di akhirat dan semoga kami semua akan disatukan di syurga kelak. Amin insya Allah,” katanya.

Farid turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu misi pencarian bapanya.

“Kami sekeluarga mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau.

“Kami juga ingin berterima kasih atas segala pertolongan dan doa yang diberikan sepanjang pencarian ini. Terima kasih. Mohon jangan tanya tentang detail (butiran), cukup di sini saja.”

Terdahulu, Farid meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lokasi bapanya apabila gagal dihubungi sejak 17 Mac lalu ketika mengerjakan umrah bersendirian tanpa ejen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.