Dewan Rakyat lulus kumpulan rentas parti tingkat integriti, cegah rasuah

Dewan Rakyat lulus kumpulan rentas parti tingkat integriti, cegah rasuah

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans, dan Anti-Rasuah itu turut melibatkan antaranya C4, Rasuah Busters, TI-M, Patriot, dan Undi18.

KRPPM akan menumpukan pelaksanaan reformasi institusi merangkumi pemisahan peranan peguam negara daripada fungsi pendakwa raya, penggubalan akta perolehan kerajaan dan akta pendanaan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat meluluskan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti-Rasuah bagi mempertingkatkan integriti, tadbir urus, serta pencegahan rasuah.

Perkara ini dikongsikan dalam kenyataan yang memaklumkan, KRPPM dipengerusikan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), serta keanggotaannya terdiri lapan Ahli Parlimen lain kerajaan termasuk pembangkang.

Antara anggota kumpulan rentas parti itu adalah Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Young Syefura Othman (PH-Bentong), Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok), Khoo Poay Tiong (PH-Ayer Keroh), Azli Yusof (PH-Shah Alam), Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu), dan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong).

Selain itu, turut mengganggotai Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), Wan Ahmad Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), dan Senator Awang Sariyan.

“Turut dianggotai Yayasan Sinar Untuk Malaysia #Rasuah Busters; Transparency International Malaysia; Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Patriot dan Undi18,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tumpuan pelaksanaan reformasi institusi merangkumi pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pemisahan peranan peguam negara daripada fungsi pendakwa raya, penggubalan akta perolehan kerajaan dan akta pendanaan politik, reformasi Parlimen dan implementasi penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Katanya, turut menganggotai KRPPM, kumpulan pakar dan profesional Syed Hamid Albar, Mohamed Nazir Tun Razak, Hussamuddin Yaacub, Anis Yusal, Shah Hakim Zain, Anis Zubedy, Maha Balakrishnan, Christopher Leong, Terence Gomez, dan Badlishah Sham Baharin.

Tambahnya, pihaknya turut melahirkan komitmen menyeluruh setiap anggota bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan menyekat penyalahgunaan kuasa.

“Melalui penggubalan dan pemerkasaan dasar serta penambahbaikan polisi bersama program kesedaran dan advokasi kemasyarakatan yang berterusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.