
Mereka menamakan kerajaan Pahang selaku defendan pertama disusuli pengarah Tanah dan Galian Pahang, pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) dan kerajaan Malaysia.
Semua mereka selaku plaintif yang diwakili peguam Harneshpal Singh Bhullar memfailkan saman itu pada Ogos 2021 dan kes itu didengar kali pertama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Nor hari ini.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif memohon deklarasi supaya kerajaan Pahang diarahkan untuk mewartakan tanah seluas kira-kira 14,418 hektar yang terletak di Mukim Ulu Jelai dan Hutan Simpan Ulu Jelai sebagai kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli di bawah Akta Orang Asli 1954.
Plaintif juga memohon mahkamah mengeluarkan deklarasi bahawa defendan tidak mempunyai hak untuk mengurangkan atau memusnahkan hak plaintif terhadap tanah itu atau melaksanakan aktiviti yang boleh menjejaskan tanah tersebut.
Dalam permohonan itu, plaintif mendakwa mereka adalah penduduk di tanah tersebut, diwarisi daripada nenek moyang, yang digunakan untuk menyara kehidupan menerusi aktiviti seperti pertanian dan mengutip hasil hutan, selain mengekalkan hubungan tradisional dengan kawasan berkenaan.
Mereka mendakwa berlaku beberapa insiden pencerobohan terhadap tanah itu sejak 2013 antaranya bagi cadangan pembinaan empangan hidroelektrik, pembalakan dan kajian cadangan perlombongan nadir bumi, yang didakwa plaintif akan menyebabkan kerosakan tanah dan kesulitan kepada mereka.
Pembinaan empangan itu bagaimanapun dibatalkan pada Oktober 2018.
Sehubungan itu, plaintif turut menuntut deklarasi bahawa semua langkah atau peninggalan (omissions) defendan berhubung pembinaan empangan, kelulusan pembalakan dan kajian cadangan perlombongan tersebut adalah bertentangan undang-undang, tidak sah dan terbatal.