Niaga tanpa lesen, polis buka siasatan kedai mercun terbakar

Niaga tanpa lesen, polis buka siasatan kedai mercun terbakar

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Video berdurasi 14 saat yang tular sebelum ini memaparkan kebakaran sebuah kedai menjual mercun
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan berkait kebakaran di sebuah gerai menjual mercun dan bunga api di Jalan Bot, Kuala Lumpur, seperti dalam satu rakaman video yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata siasatan awal mendapati gerai itu tidak mempunyai lesen.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Siasatan sedang berjalan dengan individu yang terlibat telah dikenal pasti dan akan diambil keterangan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan sebuah kedai menjual mercun terbakar, dan kelihatan seorang lelaki cuba memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api.

Ada warganet menggesa kerajaan menarik kembali kebenaran menjual bunga api dan mercun atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Noor Dellhan mengingatkan orang ramai tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.