
Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, kandungan penulisan tular menerusi aplikasi WhatsApp itu berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti polis daerah itu.
“Polis daerah Ipoh menghormati hak menjalankan aktiviti keagamaan bagi setiap individu di negara ini yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah menghalang mana-mana individu mengadakan upacara sembahyang keagamaan.
“Dalam perkara ini, polis Ipoh hanya memberi nasihat dan meminta kerjasama pihak kuil menangguhkan perarakan chariot dan kavadi pada 21 hingga 23 April kerana pertembungan tarikh Hari Raya Aidilfitri 1444h dengan jangkaan kehadiran 25,000 penganut,” katanya dalam kenyataan.
Jika tidak ditangguhkan, katanya, perarakan itu akan meningkatkan aliran trafik dan menyebabkan kesesakan luar biasa serta risiko keselamatan ketenteraman awam di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis tiada halangan terhadap sebarang aktiviti keagamaan dalam kawasan kuil itu.
Menurutnya, wakil penganjur aktiviti keagamaan itu juga diterangkan dengan jelas mengenai perkara ini dan mereka memahami pandangan serta bersetuju dengan nasihat polis.
Yahaya berkata, penganjur turut menafikan kepada polis tentang pembabitan mereka dalam penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan tuduhan tidak berasas dan membuat spekulasi mengenai kandungan WhatsApp itu sehingga menjejaskan kredibiliti polis dan menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan penulisan itu di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”
Sejak semalam, penulisan bertajuk “Ketua polis daerah Ipoh menghalang kaum Hindu menunaikan sembahyang hajat di Buntong dalam perayaan tahunan kuil Idugathu Kaliamman Buntong” tular melalui WhatsApp.