Bersatu fail laporan polis untuk ‘bersih nama’ Hamzah

Bersatu fail laporan polis untuk ‘bersih nama’ Hamzah

Laporan itu dibuat selepas nama Hamzah Zainudin dikaitkan dalam kes rasuah RM15 juta melibatkan seorang ahli perniagaan.

Bersatu mahu polis menyiasat jika SPRM ‘dipaksa’ mencemarkan nama baik ketua pembangkang Hamzah Zainudin dengan menyebutnya dalam kertas pertuduhan kes rasuah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bersatu hari ini membuat laporan polis selepas nama Hamzah Zainudin dikaitkan dalam kes rasuah RM15 juta melibatkan seorang ahli perniagaan.

Pegawai khas Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli, berkata laporan polis itu bagi membersihkan nama Hamzah daripada dakwaan tersebut.

“Tujuan utama laporan polis ini bagi menggesa pihak polis menyiasat mana-mana juga pihak yang mencampuri atau menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan kerajaan untuk mencemarkan nama baik Hamzah,” katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata lebih banyak laporan polis berhubung kes ini akan dibuat di seluruh negara.

Pada 10 Mei lalu, seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sim Choo Thiam didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan pertama, Sim dikatakan meminta RM15 juta daripada Hep Kim Hong pada Jun 2021 di Jalan Dutamas 1 sebagai dorongan kepada menteri dalam negeri ketika itu Hamzah untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya.

Dengan menuduh tindakan mengaitkan Hamzah dalam kes itu sebagai pendakwaan politik, Wan Fayhsal mempersoalkan mengapa SPRM hanya mengambil kenyataan bekas menteri KDN itu selepas ahli perniagaan terbabit didakwa di mahkamah.

“Sedangkan pendakwaan dah dibuat di mahkamah, kami difahamkan kelmarin baru SPRM ambil keterangan Hamzah, dakwa dah, tapi baru ambil keterangan.”

Beliau turut mendakwa tindakan itu disebabkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim takut digulingkan pada PRN akan datang.

“Sebab tu mereka menyasarkan kepimpinan tinggi, khususnya Muhyiddin Yassin, Hamzah dan lain-lain.

“Kami tak takut atau gentar kerana kami yakin pimpinan Bersatu dan PN bersih daripada salah laku, salah guna kuasa dan pecah amanah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.