Zahid kata ‘poster boy’ tak penting, tumpu raih kerusi majoriti dulu

Zahid kata ‘poster boy’ tak penting, tumpu raih kerusi majoriti dulu

Pengerusi BN berkata gabungan itu dan PH perlu mengutamakan meraih kerusi majoriti berbanding soal 'poster boy' yang mahu diangkat menjadi calon MB.

Zahid Hamidi berkata, penentuan menteri besar merupakan hak Sultan Kedah, justeru tumpuan perlu ke arah mendapatkan jumlah kerusi majoriti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Zahid Hamidi berkata Kedah memerlukan calon menteri besar berpengalaman dan pakar dalam selok belok pentadbiran, dan bukan hanya pandai buat “lawak” dan lagak seperti “penglipur lara”.

Bagaimanapun, pengerusi Barisan Nasional itu berkata, dalam usaha merampas kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk di negeri itu, soal menampilkan ‘poster boy’ bukan keutamaan, sebaliknya tumpuan sebenar adalah meraih jumlah kerusi majoriti.

Beliau yang juga presiden Umno, berkata penentuan siapa bakal menjadi menteri besar selepas menang merupakan hak Sultan Kedah.

Katanya, setiap pemimpin parti dari BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi komitmen penuh seiring dengan formula terbaik berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing.

“Lupakan soal ‘poster boy’. Fikirkan untuk menang dahulu, seperti di Kedah dapatkan 19 kerusi dahulu. Apabila sudah menang baru fikir soal poster boy. Itu bukan hak kita untuk tentukan tetapi hak Sultan.

“Atas dasar itulah saya yakin dalam kalangan parti, termasuk di Kedah, ketepikan perbezaan, kena ketepikan perbalahan dan komited untuk menang,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Perpaduan Kedah, di Alor Setar.

Zahid yang juga presiden Umno berkata, kedua-dua gabungan itu perlu menggunakan titik kebersamaan dan berhenti bernostalgia demi mengukuhkan parti ketika menghadapi PRN kelak.

“Dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan jadi kawan. Cukuplah kita terus bernostalgia dan berada di titik perbezaan, sekarang kita mahu cari titik persamaan.

Menyentuh mengenai konteks politik Kedah, Zahid berkata, Kedah memerlukan pemimpin terutama menteri besar yang berpengalaman dan pakar dalam selok-belok pentadbiran negeri, termasuk membangunkan negeri itu.

“Soalnya, kita jangan mempolitikkan masalah rakyat, tetapi selesaikan masalah rakyat. Lakukan komitmen, bukan hanya pandai buat lawak jenaka dan jadi penglipur lara. Kita kena belajar daripada Umno, BN, malah PKR, DAP dan Amanah. Kongsilah ilmu dan ketepikan perbezaan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.