Penganggur didakwa bunuh warga emas akibat cinta tak berbalas

Penganggur didakwa bunuh warga emas akibat cinta tak berbalas

Suhaimi Shamsudin yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret, V Vanita.

Lelaki berusia 45 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson atas tuduhan membunuh seorang warga emas awal bulan ini.

Sinar Harian melaporkan Suhaimi Shamsudin, 45, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret, V Vanita.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa membunuh Siti Aminah Mohd Amin, 67, antara 7.43 pagi hingga 1.30 tengah hari 9 Mei lalu di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang, Port Dickson.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. Majistret menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan cinta tidak berbalas dipercayai motif seorang wanita warga emas dibunuh.

Kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan mati mengejut, sebelum ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penahanan suspek di Jelebu, Negeri Sembilan pada 16 Mei lalu.

Dalam pada itu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi, iaitu telefon bimbit Nokia milik mangsa.

Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah merujuknya ke Hospital Permai (Tampoi) kerana kes lampau pada 2002.

“Saya mohon hukuman denda dan adik ipar saya akan membayar ikat jamin,” katanya yang didakwa di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya..

Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh memohon hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Mahkamah menetapkan denda RM3,000 dan hukuman penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.