Mahkamah benar permohonan Rosmah tangguh rayuan rasuah projek solar

Mahkamah benar permohonan Rosmah tangguh rayuan rasuah projek solar

Pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Mahkamah pada mulanya dijadualkan mendengar rayuan Rosmah Mansor terhadap hukuman dan sabitan dijatuhkan Hakim Zaini Mazlan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rayuan Rosmah Mansor di Mahkamah Rayuan minggu depan untuk menyingkirkan Hakim Zaini Mazlan daripada kes rasuah projek solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion ditangguhkan.

Mahkamah pada mulanya dijadualkan mendengar rayuannya terhadap hukuman dan sabitan dijatuhkan Zaini susulan perbicaraannya tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Azizah Nawawi berkata, mahkamah cenderung membenarkan penangguhan itu kerana ini kali pertama Rosmah memohon penangguhan.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan S Komathy berkata, pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Terdahulu, peguam Jagjit Singh berhujah penangguhan itu perlu kerana Rosmah sudah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan perbicaraan dengan mendakwa pelantikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram tidak sah.

Pada 4 Julai lalu, Rosmah memfailkan permohonan kebenaran dengan mengemukakan enam soalan undang-undang yang menurutnya patut dibicarakan sepenuhnya oleh mahkamah tertinggi itu.

Antara soalan itu ialah sama ada Peguam Negara, Idrus Harun berhak mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 21 Mei 2021 secara retrospektif bagi pelantikan Sri Ram mulai 15 Nov 2018, sedangkan Idrus hanya dilantik sebagai peguam negara pada Mac 2020.

Hari ini, Jagjit yang dibantu Akberdin Abdul Kadir memberitahu mahkamah, usul itu sudah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos ini.

“Permohonan ini bukan dibuat untuk melengahkan rayuan.”

Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai memberitahu mahkamah, tiada arahan untuk membantah penangguhan itu.

Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah kerana permohonan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan perbicaraannya batal sepatutnya difailkan pada atau sebelum 21 Mei 2021.

Permohonan Rosmah untuk lanjutan masa turut ditolak.

Rosmah memfailkan permohonannya di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, selepas Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei memutuskan pihak ingin mencabar pelantikan peguam swasta sebagai timbalan pendakwa raya kanan perlu berbuat demikian melalui cara sivil.

Rayuan terdahulu berhubung keengganan Zaini menarik diri daripada mendengar kes rasuah solar yang dijadualkan bermula 12 hingga 14 Julai ini. Mahkamah Rayuan turut dijadualkan mendengar rayuan substantif untuk mengetepikan sabitan dan hukuman pada tarikh sama.

Pada 1 Sept 2022, Zaini menolak permohonan saat akhir difailkan Rosmah daripada membicarakan kes itu.

Rosmah, 71, cuba melucutkan kelayakan Zaini selepas draf penghakimannya didakwa diterbitkan penulis blog diburu pihak berkuasa, Raja Petra Kamarudin.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu mendakwa draf penghakiman terbabit tidak disediakan Zaini, tetapi oleh “pihak ketiga” dan beliau hilang keyakinan terhadap hakim yang memutuskan kesnya.

Pada hari sama, Zaini memutuskan Rosmah bersalah meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Beliau juga disabitkan bersalah menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, dan satu lagi pertuduhan menerima RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Zaini menjatuhkan hukuman denda RM970 juta dan penjara 10 tahun bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tetapi memerintahkan ia berjalan serentak.

Jika gagal membayar denda itu, mahkamah memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun lagi, selepas menamatkan hukuman penjara terdahulu selama 10 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.