
PETALING JAYA: Di bawah bayangan gunung-ganang dan air terjun yang menyisir, Ulu Cheka di Pahang semakin popular sebagai destinasi ekopelancongan tempatan.
Pemuliharaan semula jadi yang amat ditekan di sini bermakna terdapat banyak peluang untuk meneroka dan menghargai keindahan alam semula jadi yang subur menghijau.
Kepelbagaian spesies flora dan fauna tempatan di hutan Ulu Cheka menjadikan ia destinasi sempurna bagi pencinta alam.
Ada dua cara untuk anda menikmati keindahan Ulu Cheka.
Bunga pakma di Kampung Tengah
Sebut sahaja bunga pakma, ramai orang akan terbayangkan Malaysia Timur. Benar flora ikonik Asia Tenggara itu tumbuh melata di Sabah dan Sarawak, tapi tahukah anda bunga pakma juga boleh ditemui di Pahang?
Spesis pakma paling dikenali, “rafflesia arnoldii”, sememangnya semulajadi tumbuh di rimba raya Sumatera dan Borneo, tetapi anda juga boleh temui rumpunnya “rafflesia cantleyi” mekar di belantara Ulu Cheka.
Jurupandu berpengalaman dari Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka (Pamuc) sentiasa sudi membawa anda melihat sendiri bunga ikonik ini!

“Terdapat beberapa denai untuk melihat bunga pakma, yang boleh mengambil masa kira-kira setengah jam hingga kira-kira dua jam,” kata Pengerusi Pamuc Shaiful Alias kepada FMT baru-baru ini. “Bunga ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk mekar, tetapi layu selepas tiga atau lima hari.”
Beliau menyarankan pengunjung menghubungi pihaknya terlebih dahulu untuk mengetahui waktu terbaik melihat bunga pakma.
Denai-denai ini mungkin agak mencabar buat pengembara kali pertama, namun tidak menjadi masalah bagi pengunjung yang cergas. Pastikan memakai pakaian yang sesuai: terdapat laluan mendaki dan menuruni bukit, jadi seluar panjang berguna untuk mengelak luka dan lebam.
Sarung kaki juga membantu untuk menghalang gigitan lintah, dan berhati-hati ketika mendekati mana-mana pokok atau semak – anda tidak mahu ganggu sarang tebuan secara tidak sengaja!
Selepas seketika menelusuri denai, anda akan tiba di stesen rafflesia. Di sini anda berpeluang melihat bunga pakma yang memutik, menyerupai kubis gelap yang kecil. Spesis ini sering tumbuh pada tumbuhan lain.

Jika anda bertuah, anda akan temui bunga pakma yang sedang mekar. Bunga kemerah-merahan ini boleh membesar hampir 30cm lebar! Baunya yang ‘tersendiri’ menarik serangga.
Sekiranya anda tidak berpeluang melihat pakma berkembang mekar, banyak lagi aktiviti yang boleh anda nikmati sepanjang pengembaraan ini. Hutan Kampung Tengah menyajikan pemandangan indah menghijau.
Menelusuri denai berlumut, di bawah pokok yang menjulang tinggi, ciapan burung di sekeliling anda…. sukar untuk tidak rasa kagum dengan alam semula jadi.
Jurupandu yang cekap sudah tentu akan menyeronokkkan lagi pengalaman anda, di mana mereka boleh berkongsi maklumat tentang hidupan liar – seperti tumbuhan tempatan untuk perubatan tradisional – dan pemandangan menarik yang mungkin anda akan terlepas pandang. Terdapat kemungkinan apa sahaja seperti serangga yang langka atau kesan tapak kaki kucing hutan!
Melihat unggas di Pusat Rekreasi SOMset Wildlife, Kg Som

Mereka yang terpesona dengan fauna akan menemui banyak perkara untuk dicintai di Kampung Som. Penempatan ini berdekatan Hutan Simpan Jerantut yang menjadi tumpuan hidupan liar kerana ia terletak dalam wilayah Central Forest Spine.
Salah satu lokasi terbaik untuk menghargai alam semula jadi ialah di SOMset Wildlife, sebuah rizab yang ditubuhkan untuk mengalakkan pemuliharaan dan mencegah pembalakan haram. Ia antara tempat terbaik untuk melihat burung.
Untuk pengalaman terbaik, pengasas dan jurupandu SOMset Wildlife Rafiz Azuan Ahmad mengesyorkan melawat lebih awal dan membawa teropong.

“Kebanyakan burung di sini keluar seawal 7 pagi untuk makan, tetapi saya cadangkan anda datang kira-kira jam 7.15 pagi hingga kira-kira 11 pagi, kerana ketika itulah cahaya matahari terbaik untuk melihat burung,” kata Rafiz, yang juga ketua Kampung Som.
“Paling penting jangan tergesa-gesa,” tambahnya. “Sesetengah orang tunggu kira-kira lima jam sebelum dapat nampak apa-apa. Tetapi kesabaran dan penantian itu yang membuatkan ia lagi istimewa.”
Tempat terbaik untuk memerhati burung di sini adalah dari atas menara tinjau setinggi 6m. Di sini terdapat pemandangan yang tiada tandingan, dari kelompok pokok-pokok ara yang amat digemari burung.
Menurut Rafiz, pengunjung mungkin dapat melihat spesies burung seperti murai batu dan burung kuang raya, serta tujuh spesies burung enggang.
Ini termasuk burung enggang badak, enggang belukar, dan enggang tebang mentua yang menurut sesetengah orang boleh mengeluarkan bunyi seolah-olah jeritan langsuir.

Bagi mereka yang meminati haiwan, Rafiz mengesyorkan melawat pada waktu malam. SOMset Wildlife menganjurkan aktiviti perkhemahan dan berjalan malam, yang boleh dilakukan selepas melihat burung pada waktu siang.
“Satu pemandangan yang jarang ditemui di sini ialah mengkira, atau marten tekak kuning. Kami pernah nampak tapir, kijang, kancil dan binturong di sini sebelum ini. Kadang-kadang ada juga kukang. Semuanya bergantung haiwan apa yang keluar malam itu,” katanya.
Mengakhiri pertemuan itu, Rafiz berkata Malaysia sememangnya kaya dengan biodiversiti yang harus dihargai. Justeru, penting bagi kita untuk memelihara keajaiban alam semula jadi negara sebelum terlambat.
Menjejaki Rafflesia
Kampung Tengah,
27030 Jerantut
Ikuti Persatuan Pemandu Pelancong Mukim Ulu Cheka (Pamuc) di Facebook.
SOMset Wildlife
Kampung Som,
27030 Jerantut,
Pahang
Ikuti SOMset Wildlife di Facebook.
Artikel ini sebahagian daripada Eksplorasi Ulu Cheka 2023 anjuran Tourism Malaysia Wilayah Timur.