4 lelaki ditahan, polis rampas dadah hampir RM450,000

4 lelaki ditahan, polis rampas dadah hampir RM450,000

Semua suspek ditahan semalam selepas sepasukan anggota menyerbu sebuah kereta di Jalan Ban, Tanjung Piandang.

Antara dadah yang dirampas polis bernilai hampir RM450,000 dalam serbuan di Tanjung Piandang, Perak semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah bernilai hampir RM450,000 dalam serbuan di Tanjung Piandang, Perak semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mereka yang berusia 19 hingga 41 tahun itu ditahan pada 10 pagi selepas sepasukan anggota menyerbu sebuah kereta di Jalan Ban.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan ganja seberat 5,461.75 gram bernilai RM17,050.

“Susulan penahanan semua suspek, sekitar 3.30 petang hari sama, polis sekali lagi membuat pemeriksaan di lokasi sama dan menemui sebuah beg galas berzip.

“Pemeriksaan menemui pil jenis WY seberat 6416.02 gram dan dadah jenis methamphetamine seberat 2084.75 gram yang dianggarkan bernilai RM423,500.

“Semua dadah dirampas dianggarkan bernilai RM440,550 dan mampu digunakan 47,000 penagih,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, semua suspek didapati positif dadah jenis THC dan methamphetamine dan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Suspek mula aktif sejak Jun lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman bermula 1 hingga 7 September bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.