Pengundi muda di Pulai, Simpang Jeram diseru keluar mengundi

Pengundi muda di Pulai, Simpang Jeram diseru keluar mengundi

Beberapa warga emas bimbang melihat tidak ramai golongan muda datang ke pusat pengundian.

Abdul Kadir, 76, menyeru golongan muda di Pulai dan Simpang Jeram untuk mengundi dalam PRK yang berlangsung hari ini.
PULAI:
Beberapa warga emas menyeru golongan muda untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi selepas tidak ramai dilihat keluar mengundi dalam PRK Pulai setakat ini.

Seorang pengundi Abdul Kadir, 76, berkata dia keluar awal untuk mengundi hari ini tetapi melihat tidak ramai golongan muda berada di pusat pengundian.

“Cucu saya sendiri yang bekerja di Johor Bahru tidak mahu pulang untuk mengundi,” katanya kepada FMT ketika ditemui di SK Seri Melati.

Katanya, proses pengundian pagi ini juga berjalan dengan lancar.

“Saya terkejut, tak sampai 10 minit saya selesai mengundi. Pada mulanya saya menjangkakan perlu beratur panjang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas yang dikenali sebagai Salim berkata, sebagai warganegara adalah menjadi tanggungjawab untuk golongan muda keluar mengundi.

“Saya jangkakan pusat pengundian akan penuh dengan pengundi muda tetapi saya lihat di sini tak ramai yang datang,” katanya.

Pesara berusia 62 tahun itu berkata biasanya golongan muda akan datang lewat untuk mengundi tetapi tambahnya cuaca hari ini tidak berapa baik.

“Pagi ini sudah hujan dan mungkin mengambil masa lama untuk berhenti. Saya berharap ini tidak akan menghalang mereka untuk keluar mengundi,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Chong Kok Siong, 40, pula berkata dia mengambil cuti semata-mata untuk pulang mengundi.

“Saya bekerja di Singapura, jadi saya mengambil cuti untuk pulang mengundi di sini.

“Sebagai rakyat Malaysia menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi,” katanya di SJK (C) Tampoi.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya berkata setakat jam 11 pagi peratusan keluar mengundi di Pulai dan Simpang Jeram, masing-masing 19% dan 26%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.