Pekerja kapal jatuh dalam laut dikhuatiri lemas

Pekerja kapal jatuh dalam laut dikhuatiri lemas

Warga asing itu dikatakan terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika melakukan kerja di atas kapal, semalam.

Usaha mencari pekerja kapal warga Bangladesh itu masih dijalankan pasukan penyelamat. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja kapal warga Bangladesh dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Miah Md Ujjal dikatakan terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika melakukan kerja di atas kapal.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Khairi Zainuddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.12 pagi.

Katanya, seramai 24 anggota BBP itu dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pencarian.

“Mangsa telah terjatuh dalam laut pada ketinggian lebih kurang enam meter ketika membuat kerja di atas sebuah kapal Als Clivia.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh dua anggota PPDA di lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan radius pencarian 25 meter ke kiri dan kanan kapal,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan operasi bagi mencari dan menyelamat mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.