
Mohd Akmal, 33, barista yang memiliki gerai di Bandar Baru Bangi berkata, ramai penjual sepertinya tidak membantah cita-cita kerajaan itu asalkan tidak membebankan mereka.
Beliau menganggarkan langkah menggunakan cawan boleh biodegradasi untuk kopi jualannya akan meningkatkan kos operasi sehingga 10%.
“Penjual jalanan akan mempunyai masalah beralih (kepada plastik boleh biodegradasi) dalam keadaan ekonomi tidak stabil (pasca-Covid-19).
“Plastik sudah sedia mahal, apatah lagi harga barangan lain,” katanya kepada FMT.
Katanya, tidak banyak pilihan yang ada di pasaran, seterusnya mempersoalkan sama ada kerajaan dapat menawarkan subsidi untuk membantu penjual sepertinya mengimport produk boleh biodegradasi secara terus dari China untuk mengurangkan kos.
Pengeluar produk plastik boleh biodegradasi memberitahu FMT, harga produk seumpama itu biasanya 15% lebih mahal berbanding pilihan biasa.
FMT mendapati harga 100 cawan plastik tidak boleh biodegradasi (500ml) berharga antara RM20 hingga RM70, manakala 100 cawan boleh kompos (500ml) berharga antara RM120 hingga RM270.
Pada Khamis, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya khuatir tentang kesediaan sektor tidak formal mematuhi inisiatif kerajaan memansuhkan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2025.
Ketika inisiatif itu dilancarkan pada Mei, Nik Nazmi berkata, ia akan dikuatkuasakan di pasar raya, pasar raya mini dan kedai runcit sebelum dilanjutkan kepada gerai-gerai.
Seorang penjual makanan di Cheras yang mahu dikenali sebagai Mustafa, 43, berkata segelintir majlis tempatan menjadikan penggunaan plastik boleh biodegradasi sebagai syarat mengeluarkan lesen penjual jalanan untuk acara awam, walaupun kebanyakan penjual tidak mampu mematuhinya.
Katanya, tiada pembekal tempatan di Hulu Langat menawarkan produk boleh biodegradasi 100% yang diwajibkan sesetengah majlis tempatan, menyebabkan beliau tidak dapat terlibat dalam acara tertentu.
“Saya dapati (segelintir produk yang mematuhi syarat) hanya boleh didapati di Amerika Syarikat. Jika kami beli dari AS, kos penghantaran saja sudah tinggi. Malaysia perlu produk boleh biodegradasi sendiri,” katanya.