SKMM turun lebih 1,000 kandungan buli siber tahun ini

SKMM turun lebih 1,000 kandungan buli siber tahun ini

Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching berkata, ini termasuk kandungan di TikTok, Facebook dan Twitter.

Teo Nie Ching berkata, SKMM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan secara berterusan menjalankan advokasi kepada pengguna bagi menangani buli siber. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 1,147 kandungan buli siber di platform media sosial telah diturunkan dalam tempoh Januari hingga 15 Nov tahun ini, hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan pengendali platform,

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, ini merangkumi 804 kandungan di aplikasi TikTok; 195 di Facebook; tujuh di X; selain masing-masing sembilan di Instagram dan YouTube, serta 123 kandungan di lain-lain platform.

Katanya, antara langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial termasuk pelbagai usaha advokasi bertujuan memberikan kesedaran mengenai penggunaan media sosial, serta pendedahan risiko dan ancaman penyalahgunaan Internet.

Usaha ini termasuk inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV), tambahnya.

“SKMM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan yang terlibat, secara berterusan menjalankan advokasi kepada pengguna melalui pelbagai platform termasuk portal Sebenarnya.my, KDB, hebahan SMS, media sosial, siaran televisyen dan radio,” katanya.

Teo menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial, sehinggakan ada kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber di platform TikTok, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), iaitu sama ada SKMM diberikan kuasa menyiasat dan mendakwa kes mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Teo berkata, suruhanjaya itu mempunyai punca kuasa untuk melakukan siasatan jika sesuatu kes tidak disiasat polis.

Bagaimanapun, kata Teo, jika polis sudah menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes, SKMM tidak menyiasatnya lagi.

“Jika nak bawa kes disiasat ke mahkamah, kes berprofil tinggi, SKMM perlu rujuk kepada polis dan Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 65 kes berkaitan komunikasi dibawa ke mahkamah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sejak 2018 hingga pertengahan bulan ini, manakala 876 kes telah disiasat mengikut seksyen sama tahun ini.

Seksyen 233 akta itu memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.