
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua laporan itu membabitkan 1,614 jemaah dengan 21 kertas siasatan dibuka merangkumi nilai kerugian RM521,090.
Katanya, sebanyak 229 laporan sudah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Lima lagi laporan polis dirujuk ke majistret bagi tuntutan sivil ke atas syarikat terbabit dan baki 104 laporan polis diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), rujuk lain laporan dan tiada kesalahan didedahkan.
“Kita sudah menjalankan tindakan siasatan antaranya merakam percakapan mangsa dan saksi dan mendapatkan resit transaksi pembayaran dibuat mangsa dalam akaun bank yang terlibat.
“Kita turut mendapatkan laporan penyata kewangan syarikat berkenaan, buat semakan lesen dengan Motac, semakan pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, menurut Berita Harian.
Berdasarkan rekod polis, jumlah laporan tertinggi dibuat di Selangor iaitu 88 diikuti Kuala Lumpur (56), Terengganu (40), Johor (35), Kelantan (34), Melaka (24), Sabah (23), Perak (19), Kedah (18), Pahang dan Negeri Sembilan (17), Pulau Pinang (16), Sabah (11) dan Perlis (satu).
Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati syarikat itu didaftarkan pada 2015 dan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk pelancongan, serta pakej umrah bermula harga RM5,999 hingga RM11,490.
“Namun berdasarkan makluman Motac, pada awal 2023, kerajaan Arab Saudi menaikkan kos pengurusan umrah dan haji di negara tersebut meliputi harga penginapan, pengangkutan dan makan minum.
“Hal ini menjadikan kos pakej yang ditawarkan oleh syarikat ini tidak lagi relevan,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati operasi syarikat terbabit dipercayai mula mengalami masalah kewangan susulan pandemik pada 2020, menyebabkan ia menghantar kumpulan pertama jemaah umrah menggunakan wang bayaran oleh kumpulan jemaah umrah kedua.
“Siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. Kita juga sedang melakukan siasatan lanjut terhadap pengarah syarikat terdiri daripada pasangan suami isteri yang kedua-duanya berusia lingkungan 40-an,” katanya.