Kami selesai banyak perkara dalam MA63 lebih pantas, kata Anwar

Kami selesai banyak perkara dalam MA63 lebih pantas, kata Anwar

Antaranya pengembalian semula kuasa pengurusan bekalan elektrik dan meluluskan projek kecil kepada kerajaan Sabah.

Anwar Ibrahim mengendalikan jengkaut sebagai simbolik pecah tanah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Ulu Tomani, Tenom hari ini. (Gambar Bernama)
TENOM:
Biarpun baru setahun mentadbir negara, kerajaan perpaduan berjaya menyelesaikan banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih pantas berbanding sebelum ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelbagai langkah diambil bagi merealisasikan perkara itu, antaranya mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat melibatkan MA63 bagi menyegerakan pelaksanaan perkara berkaitan.

Untuk Sabah sendiri, katanya banyak perkara dalam MA63 berjaya diselesaikan, antaranya pengembalian semula kuasa pengurusan bekalan elektrik dan meluluskan projek kecil kepada kerajaan negeri.

“…dalam tempoh setahun ini, kita selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya…saya jelaskan kerana ada tokoh politik di Sabah gunakan cerita ini untuk tarik minat orang Sabah, guna sentimen. Kalau ada fakta, saya tiada masalah, tetapi kalau putar belit, saya terpaksa jawab.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini, hari ini. Empangan dengan kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt itu dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 bilion.

Turut hadir Ketua Menteri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.