Saman fitnah: Mahkamah benar injuksi Anwar terhadap Sanusi

Saman fitnah: Mahkamah benar injuksi Anwar terhadap Sanusi

Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan itu selepas menolak bantahan peguam menteri besar Kedah.

Anwar Ibrahim (kiri) memfailkan saman terhadap Sanusi Nor pada tahun lalu selepas pengarah pilihan raya PAS itu mendakwa presiden PKR itu ‘berperwatakan tidak bermoral’.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan injuksi Anwar Ibrahim terhadap Sanusi Nor dalam kes saman fitnah pemimpin PAS itu.

Anwar memfailkan saman itu terhadap Sanusi pada Disember tahun lalu, selepas pengarah pilihan raya PAS itu mendakwa presiden PKR itu “berperwatakan tidak bermoral”.

Peguam perdana menteri, SN Nair dan Jaden Phoon berkata permohonan injuksi itu dibenarkan Hakim Mahazan Mat Taib hari ini.

Pada 31 Julai lalu, mahkamah membenarkan injuksi interim susulan permohonan Anwar.

Nair berkata peguam Sanusi, Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan, membantah permohonan injuksi itu tetapi bantahan ditolak mahkamah.

Anwar memohon untuk menghalang Sanusi, kakitangannya dan ejennya daripada mengulangi kenyataan yang didakwa fitnah itu sehingga saman tersebut selesai.

Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 19 Feb ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Dalam pernyataan tuntutannya itu, Anwar mendakwa Sanusi membayangkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan Islam yang baik.

Anwar menerima pengampunan diraja penuh dari Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.