Pujian Puad terhadap Loke tak disenangi pengundi Cina, kata penganalisis

Pujian Puad terhadap Loke tak disenangi pengundi Cina, kata penganalisis

James Chin percaya ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno memberi pujian kerana setiausaha agung DAP tidak akan menentang parti nasionalis Melayu itu.

Seorang penganalisis berkata pujian Puad Zarkashi terhadap Loke Siew Fook harus dilihat dari perspektif meredakan ketuanan Melayu.
PETALING JAYA:
Pujian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi terhadap Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook baru-baru ini mungkin dipandang negatif oleh masyarakat Cina, menurut seorang penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, masyarakat Cina mungkin melihat DAP cuba menyenangkan hati Umno selepas Puad memuji Loke sebagai pemimpin yang realistik, membawa imej sederhana dan sentiasa menghormati kawan mahupun lawan.

Bercakap kepada FMT, beliau merujuk penolakan MCA oleh pengundi Cina dalam pilihan raya lalu kerana persepsi bahawa parti itu “bersujud” kepada Umno, rakan gabungannya dalam Barisan Nasional (BN).

“Ia bukan soal mempunyai pemimpin yang realistik. Anda perlu mentakrifkan ‘realistik’ dari sudut pandangan Umno.

“Apabila Puad membangkitkan idea pemimpin realistik, ia adalah mengenai ketuanan Melayu. Seorang bukan Melayu, terutamanya pemimpin Cina, yang tidak mencabar ketuanan Melayu pada dasarnya adalah apa yang Puad maksudkan dengan ‘realistik’.

“Ini adalah label yang sama pada MCA, Gerakan dan MIC. Mereka tidak pernah berada dalam kedudukan untuk mencabar Umno dalam isu ketuanan Melayu (semasa mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum 2018),” kata Chin.

Minggu lalu, Puad berkata negara memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Loke, sambil menambah gaya kepimpinan Ahli Parlimen Seremban itu disukai ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata “kesederhanaan” cuba dibawa Loke dalam DAP dicemari tindakan “nakal” ahli parti lain, yang sukar dikawal dan menimbulkan masalah.

Kenyataan itu susulan kontroversi dicetuskan oleh cadangan Ahli Parlimen DAP Ngeh Koo Hem, supaya kerajaan melantik pakar bukan Islam bagi membantu jawatankuasa khas untuk mengkaji semula kecekapan DUN menggubal undang-undang Islam.

Loke kemudian mengakui cadangan Ngeh sebagai satu kekhilafan, menegaskan pihaknya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor sebagai pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam membuat keputusan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata gaya kepimpinan Loke diperlukan dalam kerajaan perpaduan, yang terdiri daripada parti mempunyai perbezaan ideologi yang melayani etnik berbeza.

Beliau berkata, sikap Loke perlu dicontohi pemimpin parti lain dalam kerajaan perpaduan untuk menguruskan perbezaan mereka.

“Kita tidak boleh berhenti pada DAP sahaja. Dalam kerajaan perpaduan, pandangan melampau yang boleh mengguris perasaan pihak lain – sama ada PKR, Umno, Amanah, atau mana-mana (pihak) – memerlukan kepimpinan yang melibatkan sedikit logik dan pertimbangan.

“Tambahan pula, jika kita ingin melanjutkan peranan kepimpinan ini, ia juga perlu jika kita mahu mewujudkan hubungan antara parti politik dalam kerajaan perpaduan, parti dari Semenanjung dan Borneo. Kedua-dua pihak perlu memahami antara satu sama lain dan tidak terlalu keterlaluan dalam mempertahankan kepentingan masing-masing,” kata Azmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.