Saya bersuara demi rakyat, Wee bidas Kok dakwa MCA ‘sesat’

Saya bersuara demi rakyat, Wee bidas Kok dakwa MCA ‘sesat’

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata parti itu berperanan sebagai semak dan imbang kerana tiada Ahli Parlimen Cina dari blok pembangkang.

Presiden MCA Wee Ka Siong membidas Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berhubung jawapannya mengenai hubungan DAP dan MCA dalam kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Presiden MCA Wee Ka Siong membidas kenyataan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang mendakwa parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebagai agak “sesat”.

Bekas menteri pengangkutan itu juga menafikan dakwaan Kok bahawa beliau hanya “serang” Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, yang juga menteri pengangkutan.

Jelas Wee, kritikan yang dibuat adalah berdasarkan isu yang memberikan kesan kepada rakyat, khususnya membabitkan kementerian pengangkutan yang diterajui Loke.

“Ketika saya menjadi menteri pengangkutan, pihak JPJ telah meminta saya melancarkan aplikasi MyJPJ, tapi saya menolak kerana tidak selesa dengan ciri-ciri keselamatannya yang boleh menyebabkan kebocoran maklumat.

“Setelah bertukar menteri, aplikasi MyJPJ terus dilancarkan, lihatlah reaksi buruk para pengguna ketika itu sehingga saya terpaksa bersuara,” kata Wee, di laman media sosial Facebook miliknya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata demikian mengulas wawancara Kok bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini, yang menurutnya secara “membabi buta” mendakwa MCA agak “sesat” apabila ditanya tentang hubungan DAP dan MCA dalam kerajaan perpaduan.

Jelasnya lagi, kritikan tersebut turut diakui pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan seterusnya melakukan penambahbaikan terhadap aplikasi MyJPJ tersebut.

Selain itu, kata Wee, beliau turut membangkitkan isu berkenaan syarikat penerbangan yang mengaut keuntungan melampau dan membebankan rakyat berkenaan tambah penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

“Isu tambang penerbangan memang satu masalah yang berlaku dan akhirnya kerajaan memberi subsidi tambang menjelang hari perayaan. Kalau dakwaan saya tidak berasas, buat apa kerajaan beri subsidi tambang?

“Kedua-dua kritikan membina demi kebaikan rakyat, apa salah dan dosa saya? sebagai Ahli Parlimen, saya sentiasa bersuara samada di dalam atau di luar Dewan Rakyat, meskipun saya perlu menegur kementerian tentang sesuatu dasar, ianya adalah demi kebaikan rakyat dan negara,” tegas Wee.

MCA menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi parti itu tidak sesekali akan menjadi pak turut semata mata, tegas Wee.

“MCA bukan duduk di dalam Jemaah Menteri kerajaan Madani dan kami juga tidak terlibat di dalam penggubalan dasar di peringkat kementerian atau Jemaah Menteri.

“Peranan MCA di Parlimen tetap sebagai ‘semak dan imbang’ di dalam sistem demokrasi, pada ketika ini, tiada Ahli Parlimen Cina dari blok pembangkang untuk memberi semak dan imbang, kalau bukan MCA, siapa lagi?” kata Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.