PN pimpinan PAS umpama pedang bermata dua, kata penganalisis

PN pimpinan PAS umpama pedang bermata dua, kata penganalisis

Syaza Shukri berkata, ini akan menarik lebih banyak sokongan pengundi Muslim, tetapi lebih sukar meyakinkan bukan Melayu bahawa Perikatan Nasional mewakili semua orang.

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bersama Abdul Hadi Awang, yang dikatakan kurang kepercayaan parti komponen untuk menyandang kepimpinan gabungan itu.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik memberi amaran bahawa Perikatan Nasional (PN) pimpinan PAS mungkin menjadi pedang bermata dua bagi gabungan itu, susulan cadangan perubahan kepimpinannya, selepas beberapa Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, PN mampu lebih kuat jika PAS mengambil alih sebagai pengerusi gabungan itu, kerana akan lebih serasi dengan “pilihan Islamik” pengundi.

“Ini akan menjadikan agenda PN lebih jelas bagi umum, tetapi sebaliknya menyukarkan keyakinan bahawa PN kononnya berbilang kaum (bersama Gerakan),” katanya kepada FMT.

“Sukar nanti untuk meyakinkan bukan Melayu bahawa PN akan menjadi gabungan untuk semua – lebih sukar lagi berbanding sekarang.”

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pencapaian PN mungkin terhad di bawah pimpinan PAS, khususnya jika Abdul Hadi Awang, presiden parti Islam itu, mengambil alih kuasa.

“Hadi mungkin dilihat sebagai pemimpin nombor satu PAS, tetapi tidak mendapat kepercayaan komponen PN untuk menggantikan Muhyiddin Yassin.

“Jika boleh, mereka patut melantik Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dikatakan berhaluan sederhana sebagai pengerusi PN dan perdana menteri PN,” katanya dengan menambah ini juga akan menguji kesesuaian Samsuri.

Samsuri yang juga bekas ahli akademik dengan ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan, pernah menjadi pembantu Hadi dan sebelum ini dianggap sebagai berpotensi menjadi perdana menteri satu masa nanti.

Bagaimanapun, Awang Azman turut mengakui Pengerusi PN Selangor Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mungkin dilihat sebagai calon lebih sesuai disebabkan “kelicikan” mereka dalam politik.

Veteran Umno, Shahrir Samad pada Ahad berkata Bersatu bergelumang masalah dalaman, membawa kepada tindakan enam Ahli Parlimennya untuk mengisytiharkan sokongan bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau mencadangkan PAS mengambil alih kepimpinan gabungan pembangkang, seterusnya mencetuskan reaksi daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang berkata Muhyiddin dipilih sebagai pengerusi PN kerana keupayaannya menyatukan parti-parti komponen.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, PAS tidak akan terburu-buru membuat tuntutan untuk jawatan pengerusi PN kerana sebahagian pengundi percayai pendirian ideologinya tidak seiring kemajmukan bangsa di negara ini. Beliau turut melihat bagaimana PAS menerima Dr Mahathir Mohamad, walaupun berlaku bekas perdana menteri itu ditolak pada pilihan raya umum ke-15.

“Ini menunjukkan PAS mungkin memberikan Muhyiddin satu lagi peluang untuk meneruskan kepimpinan PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.