
Wan Agyl Wan Hassan, rakan kongsi pengurusan dalam firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners berkata pengumuman berkait projek yang dikatakan bernilai USD70 bilion (RM330 bilion) itu sepatutnya dibuat selepas ada perbincangan dengan pemerintah Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Beliau memberi contoh projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di mana Malaysia membuat perjanjian dengan Singapura.
“Bagi saya peliklah, tak tahu dari mana datangnya tiba-tiba muncul cadangan pembinaan rangkaian kereta api laju Borneo.
“Kena faham bila nak buat projek seperti ini mesti kena ada perjanjian unilateral, empat wilayah ini perlu setuju,” kata Wan Agyl kepada FMT mengulas pengumuman projek Kereta Api Trans Borneo.

“Mungkin ada yang umum melalui laman web, tetapi proses (rundingan) itu tidak berlaku, kena bincang dengan Sabah, Sarawak, dan Indonesia, membabitkan persetujuan tentang jajaran, projek, dan pembiayaan.”
Beliau juga mendakwa maklumat berkaitan projek itu juga agak terhad dan masalah berkenaan turut dihadapi kerajaan Sarawak yang sepatutnya mengetahuinya jika ada perbincangan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Putrajaya tidak tahu menahu mengenai cadangan sebuah syarikat membina rangkaian kereta api laju menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei, dan Kalimantan di Indonesia.
Menurutnya, ia perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kerajaan malah tender kajian kebolehlaksanaan projek landasan kereta api Trans Borneo hanya dibuka pada Mei ini.
Baru-baru ini, Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei dilaporkan akan membina rangkaian kereta api laju di Borneo yang bertujuan memendekkan tempoh perjalanan antara negara itu, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.
Dalam pengumumannya, projek itu merangkumi dua fasa, membabitkan laluan sepanjang 1,600km menggunakan kereta api dengan kelajuan maksimum 350km/j.
Cadangan rangkaian sistem kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia bukanlah perkara baru. Ia pernah dicadangkan oleh Sarawak sebelum ini.
Pada Oktober tahun lalu, Loke berkata Putrajaya akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek susulan permintaan daripada Sarawak.