Pusat kawalan trafik udara diarah lanjut waktu operasi

Pusat kawalan trafik udara diarah lanjut waktu operasi

Semakan mendapati AirAsia dan Malaysia Airlines memulakan semula operasi beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas ke Sabah dan Sarawak.

CAAM saran syarikat penerbangan dan pengendali pesawat memantau secara berterusan perkembangan meteorologi. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Pusat kawalan trafik udara (ATC) diarah melanjutkan waktu operasi selepas jadual pernerbangan ke Sabah dan Sarawak disambung semula petang tadi, selepas banyak penerbangan terjejas susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Semakan mendapati AirAsia dan Malaysia Airlines memulakan semula operasi beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata ramalan cuaca semasa menunjukkan awan debu
susulan letusan Gunung Ruang kembali pulih dan bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Norazman Mahmud berkata operasi penerbangan disambung semula dari kira-kira 7 malam tadi sementara ATC diarah melanjutkan waktu untuk membantu menyambung semula penerbangan yang dibatalkan atau ditangguhkan.

“Ramalan menunjukkan awan debu gunung berapi kembali bersih di sekitar wilayah Sarawak mulai 7 malam dan keadaan ruang udara Borneo dijangka akan kembali bersih sepenuhnya mulai 10 malam ini.

“CAAM menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Memetik The Borneo Post, lebih 20,000 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, serta lapangan terbang di Labuan, Tawau, dan Sandakan akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara.

Ratusan juga terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dengan penumpang beratur panjang cuba menempah semula tiket penerbangan di kaunter daftar masuk dan pejabat syarikat penerbangan.

Sementara itu, Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 800 orang di Sulawesi Utara dipindahkan susulan letusan Gunung Ruang, di Pulau Ruang, kira-kira 100km dari ibu kota wilayah Manado.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.