Nahas 2 helikopter : 1 anggota cedera terkena serpihan

Nahas 2 helikopter : 1 anggota cedera terkena serpihan

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata anggota terbabit secara kebetulan sedang berenang di dalam kolam renang di mana lokasi sebuah helikopter itu terhempas.

helikopter TUDM
Dua helikopter dilaporkan bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 dalam kejadian pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi turut menyebabkan seorang anggota pasukan yang berada di lokasi mengalami kecederaan.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata anggota terbabit secara kebetulan sedang berenang di dalam kolam renang di mana lokasi sebuah helikopter itu terhempas.

“Tiada orang luar mengalami kecederaan, melainkan seorang sahaja yang kebetulan dia sedang berenang di kolam renang tersebut.

“Anggota terbabit terkena serpihan daripada helikopter Fennec tersebut dan mengalami kecederaan ringan. Kebetulan anggota terbabit berada dalam kolam renang ketika kejadian berlaku,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini, menurut Berita Harian.

Dalam kejadian itu, 2 helikopter dilaporkan bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Pesawat itu kemudian terhempas, dengan HOM jatuh di Stadium TLDM Lumut, manakala Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.