
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, ini “kes kecil” berbanding dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh ahli politik terdahulu melibatkan kontrak lebih besar dan berbilion ringgit dana awam.
Beliau mengulas keputusan kerajaan Selangor memberikan projek negeri kepada firma dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Satu lagi kejadian melibatkan cadangan pelantikan bapa mentua Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo untuk mengetuai lembaga rayuan yang ditubuhkan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat 2010. Bagaimanapun, Baldev Singh Gurchan Singh dilaporkan telah menolak jawatan berkenaan.
Chin berkata isu berkenaan tidak akan menjejaskan DAP atau Pakatan Harapan, walaupun mereka menjanjikan ketelusan serta tadbir urus baik.
“Ya, ini bukan masa terbaik, tetapi ia tidak akan mengubah persepsi terhadap DAP (dalam kalangan penyokongnya). Jika kontraknya besar dan individu itu mempunyai akses kepada wang kerajaan, mungkin lain ceritanya. Ini pelantikan kecil,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, cadangan pelantikan bapa mentua Jagdeep sekadar langkah politik yang juga norma dalam politik Malaysia.
Katanya, beberapa pemimpin dan ahli parti juga diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun sejak pembentukan kerajaan perpaduan, walaupun ada pihak membantahnya.
“Memang difahamkan mana-mana parti politik berkuasa akan melantik penyokong mereka ke jawatan ini. Ia lumrah dalam politik Malaysia.”
Beliau berkata, kontroversi melibatkan Yeoh dan Jagdeep tidak mungkin memberi kesan terhadap kempen PH untuk PRK Sungai Bakap tidak lama lagi.
Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, dua kontroversi itu tidak memberi gambaran baik untuk DAP, malah mencetuskan persoalan mengenai amalan nepotisme.
Katanya, lawan politiknya boleh menggunakan isu itu sebagai senjata, malah Perikatan Nasional dan MCA telah mengeluarkan kenyataan media mengenainya.
Bagaimanapun, Azmil tidak menjangka isu itu akan mempengaruhi pengundi terhadap PH di Sungai Bakap.
“Apapun, isu utama dalam kalangan pengundi adalah kos sara hidup yang pasti memainkan peranan dalam PRK Sungai Bakap.”
Pelbagai parti menekankan kemungkinan layanan istimewa dan konflik kepentingan dalam pemilihan Asia Mobiliti dan sebuah firma lain untuk melaksanakan pembuktian konsep selama sembilan bulan bagi projek transit di Lembah Klang. Suami Yeoh, M Ramachandran adalah CEO Asia Mobiliti.
Syarikat itu dan kerajaan negeri menegaskan pelantikan terbabit melalui proses wajar, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat perkara berkenaan.