
Akberdin Abdul Kader berkata polis memaklumkan perkara itu kepadanya semalam, selepas kertas siasatan diserahkan kepada pendakwa raya.
Menurutnya lagi, polis juga memulangkan telefon bimbit dan kad sim Ebit yang dirampas ketika siasatan.
Pada September tahun lalu, Ebit disiasat berhubung dakwaan rogol yang dibuat seorang wanita Indonesia, Mondy Tattoo, yang juga seorang pempengaruh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata seramai 13 individu dipanggil membantu siasatan ke atas dua tuduhan berasingan, berhubung dakwaan serangan seksual dan fitnah membabitkan Ebit Lew dan Mondy.
Katanya, pempengaruh itu mendakwa dia dirogol penceramah berkenaan manakala Ebit membuat laporan polis mendakwa dia difitnah.
Akberdin mendakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 1 Julai ini untuk memutuskan kuantum ganti rugi dalam kes saman fitnah Ebit terhadap Mondy.
Dalam kes yang berasingan, Ebit, 38, berdepan 11 tuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar perkataan dan gambar lucah kepadanya, menerusi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.