Jakim diarah tangani penyebaran kandungan ajaran sesat

Jakim diarah tangani penyebaran kandungan ajaran sesat

Menteri Agama Mohd Na'im Mokhtar berkata ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu tindakan tegas bagi menangani isu itu.

na'im
Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar berkata Jakim diarah berbincang dengan jabatan agama Islam negeri untuk bertindak menangani isu berkaitan dengan penyebaran ajaran sesat (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kelompok yang menyebar kandungan ajaran sesat amat penting, supaya mereka tidak merasakan perbuatan itu begitu mudah dilakukan sewenang-wenangnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan berhubung isu itu, sudah tiba masanya untuk penguatkuasa sama ada pihak pengurusan agama atau polis, bertindak tegas dalam menanganinya.

“Saya akan mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan agama Islam negeri, khususnya bahagian penguatkuasaan untuk melihat dan bertindak secara bersama untuk menangani isu berkaitan dengan penyebaran ajaran sesat,” katanya kepada media selepas majlis sambutan Maal Hijrah.

Na’im berkata bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, beliau akan menghadap Sultan Ibrahim dalam masa terdekat untuk mendapat perincian mengenai jawatankuasa khas yang perlu ditubuhkan bagi menangani isu penyebaran kandungan ajaran sesat.

Selain itu beliau berkata titah Sultan Ibrahim mengenai keperluan pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat tepat, merupakan langkah penting ekoran cabaran kebanjiran maklumat melalui media sosial yang sukar dikawal.

“Perkara itu akan dibincangkan dengan Jakim iaitu agensi agama peringkat persekutuan yang melaraskan isu berkaitan agama. Memandangkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya pusat (rujukan agama) itu diwujudkan, kita akan lihat bagaimana pusat itu boleh dibentuk,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam titah baginda menggesa supaya tindakan penguatkuasaan ditingkatkan terhadap kandungan ajaran sesat, dan sebuah pusat rujukan agama disediakan untuk penyebaran ilmu dan maklumat tepat.

Na’im berkata beliau menyokong titah Sultan Ibrahim itu yang mengajak rakyat khususnya pengguna media sosial menjaga akhlak dan bahasa dalam menggunakan platform itu untuk manfaat dan bukannya untuk jalan keburukan.

“Jadi sama-sama kita menjunjung titah (Sultan Ibrahim) untuk menggunakan platform media sosial dengan cara baik, menghormati sesama kita dan membina perpaduan serta kasih sayang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.