
Mohd Firdaus Mohd Lani, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, Firdaus didakwa menyimpan seekor harimau kumbang di dalam sangkar kecil yang menyebabkan kesakitan terhadap hidupan liar itu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Firdaus didakwa menangkap seekor harimau kumbang pada 22 Mac lalu untuk melindungi haiwan ternakan dan gagal untuk melaporkan kejadian itu kepada Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 54(3) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua- dua kesalahan itu dilakukan di sebuah kebun getah dekat Kampung Terentang, Batu Kikir, Kuala Pilah, kira-kira jam 4 petang, 27 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perhilitan Gilmoore G Bolongon mankala Firdaus tidak diwakili peguam.
Gilmoore mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tetapi tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan alasan hanya bekerja sebagai pengembala kambing dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hakim membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 bagi semua tuduhan dan menetapkan 25 Sept ini untuk sebutan semula kes.