
“Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan, bukan menuntut itu dan ini,” kata Zahid yang juga timbalan perdana menteri.
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan simposium perancangan dan pembangunan desa peringkat kebangsaan 2024.
Perselisihan dua parti itu tercetus apabila Amanah Kluang menuntut diberi laluan di DUN Mahkota, susulan kematian penyandang, Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lepas.
Presiden Amanah Mohamad Sabu kemudian menegur ahlinya itu supaya isu berkenaan tidak dibincangkan di media, dan mahu semua pihak tumpu pada PRK Nenggiri.
Mengulas lanjut, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pimpinan peringkat pusat belum membincangkan hal berkaitan PRK DUN Mahkota bagi menghormati keluarga Sharifah Azizah.
“Pemimpin di peringkat pusat kita belum duduk berbincang.
“Allahyarham baru saja meninggal, kita kena simpati dengan keluarganya.. janganlah tergopoh gapah untuk membuat formula politik, yang penting perkhidmatan kepada rakyat harus disambung,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin sebarang keputusan yang akan diambil kelak mengambil kira kesepakatan kerajaan negeri dan semangat kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Pada PRN Johor 2022, Sharifah Azizah dari BN menang dengan majoriti 16,611 undi menewaskan calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.
Sebelum itu pada PRU14, Amanah yang menggunakan logo PKR menang dengan majoriti 1,668 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Selasa depan untuk menentukan pelaksanaan PRK di kawasan terbabit termasuk tarikh pembuangan undi.