Lebih RM700,000 disalur kepada Nenggiri, Azizi hanya guna 10%, kata MB

Lebih RM700,000 disalur kepada Nenggiri, Azizi hanya guna 10%, kata MB

Nassuruddin Daud menafikan dakwaan bekas Adun Nenggiri itu bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud ketika berkempen di Kampung Pasir Tumboh sempena PRK Nenggiri.
GUA MUSANG:
Bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim telah diberi peruntukan lebih RM700,000 melalui pejabat daerah untuk membantu rakyat di kawasannya tahun ini, menurut menteri besar Kelantan.

Nassuruddin Daud mendedahkan perkara itu sekaligus menafikan dakwaan Azizi bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri ketika menjadi wakil rakyat.

“(Kerajaan negeri) bagi RM713,500 kepada DUN Nenggiri … untuk tahun ini sahaja,” katanya ketika berucap sempena kempen PRK Nenggiri di Kampung Pasir Tumboh.

Bagaimanapun, katanya, Azizi hanya menggunakan 10% daripada dana yang diberikan untuk membantu rakyat di kawasan DUN berkenaan.

“(Menerusi perkiraan saya), setakat ini, daripada jumlah (peruntukan) kerajaan negeri, beliau hanya gunakan RM72,000, iaitu 10%,” katanya.

“Kita beri semua peruntukan kepada wakil rakyat, sudah ada dalam tangan, kenapa tak guna? (Kemudian) buat cerita kerajaan negeri tak beri peruntukan, ini fitnah.

“(Mohd Azizi) juga kata, kerajaan negeri salur peruntukan menerusi penyelia DUN. Beliau sedar atau tidak, kawasan itu tiada penyelia DUN?”

Nassuruddin menyifatkan dakwaan Mohd Azizi sebagai alasan ‘menghalalkan’ tindakannya menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Katanya, pemimpin yang bertanggungjawab akan memegang amanah rakyat dan kekal setia dengan parti walaupun berdepan pelbagai cabaran sebagai pembangkang.

Sebelum ini, Mohd Azizi mencabar kerajaan negeri mengemukakan bukti beliau menerima peruntukan sedangkan beliau terpaksa menggunakan duitnya sendiri untuk membantu rakyat sehingga menerima peruntukan daripada kerajaan perpaduan.

Mohd Azizi dilucutkan keahlian oleh Bersatu pada Jun lepas, lalu kehilangan kerusi DUN Nenggiri yang diwakilinya, mencetuskan PRK yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini.

Beliau antara enam Ahli Parlimen dan Adun Bersatu yang terlucut keahliannya kerana mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Geran tanah peneroka

Berhubung pemberian geran tanah kepada peneroka, Nassuruddin berkata, kerajaan negeri akan meluluskan pemberian geran tanah sekiranya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyelesaikan bayaran premium tanah peneroka.

“Kalau (Kesedar) kata boleh bagi geran, (itu) tak betul, hanya kerajaan (negeri) boleh bagi geran.

“Kalau (Kesedar) jelaskan premium, kita bagi geran,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan kerajaan Kelantan menyekat hak rakyat negeri itu memiliki tanah, sebaliknya menurutnya, sejak kerajaan negeri PAS dipimpin Nik Aziz Nik Mat, geran bagi lebih 500,000 ekar tanah telah diberikan kepada penduduk.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa Kesedar menjadi punca proses pemberian ribuan geran kepada penduduk tidak dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, Pengerusi Kesedar Zawawi Othman enggan kerajaan negeri mencampuri urusan tanah agensi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.