Pemimpin parti kerajaan perpaduan akan hadir PAU jika lapang, kata Zahid

Pemimpin parti kerajaan perpaduan akan hadir PAU jika lapang, kata Zahid

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Umno telah berbincang mengenai jemputan rasmi berkenaan namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Tahun lalu, Anwar Ibrahim hadir selaku presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) Umno atas jemputan parti itu.
PUTRAJAYA:
Umno telah berbincang untuk menjemput ketua-ketua parti dalam kerajaan perpaduan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai tetamu rasmi Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, kata Presiden Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kehadiran pemimpin utama parti bergantung kepada kelapangan mereka.

“Tahun lepas memang kita jemput pemimpin kerajaan perpaduan.. (sama ada datang atau tidak) kita lihat kelapangan pemimpin berkenaan untuk menghadiri PAU kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan simposium perancangan dan pembangunan desa peringkat kebangsaan 2024.

Ketika ditanya adakah jemputan rasmi sudah diedarkan kepada parti-parti berkenaan, Zahid dengan ringkas berkata: “Kita telah berbincang”.

PAU 2024 akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) hadir ke PAU, 25 tahun selepas dipecat.

Kali terakhir beliau di pentas sama ialah pada Jun 1998 selaku timbalan presiden Umno, sebelum dipecat tiga bulan kemudiannya.

Turut hadir pemimpin kanan parti sekutu dalam kerajan antaranya Loke Siew Fook (DAP), Mohamad Sabu (Amanah), dan Shafie Apdal (Warisan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.