‘Counter setting’: 37 lagi suspek ditahan, SPRM rampas RM1 juta

‘Counter setting’: 37 lagi suspek ditahan, SPRM rampas RM1 juta

Suspek ditahan SPRM dalam Op Pump 2.0 di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.

sprm
Antara suspek yang direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Seramai 37 pegawai agensi penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersekongkol sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘counter setting’ atau ‘laluan kaunter khas’.

Suspek terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Pump 2.0 dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata mereka yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang kini disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, menerusi operasi itu SPRM turut menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, suspek di Selangor (lebih RM200,000) , suspek di Johor (lebih RM170,000) dan suspek di Negeri Sembilan (lebih RM100,000) .

“Wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, SPRM turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta dan motosikal selain telefon bimbit pelbagai jenama.

Seramai 34 suspek direman antara lima hingga tujuh hari manakala tiga lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.