
Bapa mangsa, Shaariibuu Setev menulis surat kepada mahkamah untuk menyatakan sokongan terhadap permohonan Azilah.
Panel semakan tiga anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, berkata permohonan Azilah untuk meringankan hukumannya kepada pemenjaraan diterima.
Hakim turut memerintahkan hukuman minimum mandatori 12 sebatan terhadap Azilah, 48.
Hari ini, mahkamah diberitahu Altantuya adalah perisik asing dan Azilah diarahkan pegawai atasannya melakukan jenayah itu kerana wanita terbabit memiliki maklumat sulit negara.
Tengku Maimun berkata, panel hakim memberi pertimbangan sewajarnya terhadap afidavit Azilah dan surat daripada keluarga Altantuya apabila membenarkan permohonan semakan.
Azilah memfailkan permohonan mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Penjara Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, yang memberi pilihan kepada hakim untuk mengenakan hukuman penjara, bukannya hukuman mati dalam kes pembunuhan.
Panel semakan itu turut dianggotai Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dan Nordin Hassan.
Terdahulu, di awal prosiding hari ini, peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah memohon untuk menyerahkan surat Shaariibuu kepada mahkamah.
Sangeet Kaur Deo yang juga peguam pemerhati keluarga mangsa mengesahkan perkara itu, sementara Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar tidak membantah penerimaan surat itu.
Keterangan di mahkamah mendedahkan Altantuya, 28, dibunuh pada 18 Okt 2006, sebelum diletupkan menggunakan bahan letupan C4 dalam hutan di Puncak Alam, pinggir Shah Alam.
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan Azilah dan rakan sekerjanya, Sirul Azhar Umar atas jenayah itu.
Sabitan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi diterbalikkan Mahkamah Persekutuan dua tahun kemudian, dengan kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman mati. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir diumumkan.
Pada 8 Dis 2020, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Azilah untuk dibicarakan semula.
Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang juga orang kepercayaan bekas perdana menteri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri. Kerajaan tidak merayu terhadap pembebasan Razak.
Walaupun disabitkan kesalahan, motif pembunuhan Altantuya tidak pernah didedahkan.
Kuldeep dalam hujahnya untuk meringankan hukuman hari ini berkata, Azilah adalah pegawai setia yang mengikut arahan pegawai kanan polis, Musa Safri demi kepentingan keselamatan negara.
“Musa memaklumkan kepadanya bahawa dia (Azilah) boleh membawa mana-mana pegawai bersamanya untuk operasi rahsia kerana si mati ialah pengintip dan ancaman terhadap keselamatan negara,” kata peguam itu sambil menambah Altantuya memiliki maklumat sulit.
Dusuki yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati kerana pembunuhan itu mengejutkan negara.
“Altantuya dibawa ke tempat terpencil, di mana pembunuhan ngeri itu berlaku. Pasukan forensik terpaksa dihantar kemudian untuk mengambil mayatnya bagi tujuan pengecaman.”
Selepas prosiding, Sangeet memberitahu wartawan, keluarga Altantuya menerima hukuman penjara maksimum yang dikenakan terhadap Azilah.