
Beliau menjelaskan syarat dan keutamaan pelantikan diberikan kepada golongan profesional tanpa mendiskriminasi ahli politik jika mereka layak selain melepasi tapisan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
“Melainkan beberapa bidang umpamanya institusi kewangan dan beberapa agensi terikat dengan kewangan itu tak diizinkan ahli politik dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
“Itu memang tegas dan kita mendukung prinsip ditekankan Bank Negara Malaysia,” katanya pada sesi waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC dipilih daripada golongan profesional dari sektor swasta yang berintegriti.
Hassan turut meminta tiada lagi lantikan ahli politik atau pegawai kerajaan masih bertugas atau sudah bersara.
Anwar menegaskan setiap GLIC dan GLC akan dipantau secara dekat supaya tidak berlaku sebarang salah laku.
“Mereka juga tahu bahawa mulai tahun depan ketua audit negara akan masuk (siasat), ini beri satu peringatan bahawa tak harus berlaku apa-apa masalah kecurangan dalam agensi berkenaan,” katanya.