
Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Lim itu hanya memberi imej buruk kepada negara, sambil menyatakan sokongan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menurutnya, langkah kerajaan itu sama seperti memberi bantuan kepada negara baru mencapai kemerdekaan dengan berkongsi kepakaran.
“Kita sambut baik langkah menteri pendidikan jalin kerjasama dengan Afghanistan dalam bidang pendidikan yang menunjukkan kita ke hadapan selain mampu tawarkan tempat untuk pelajar Afghanistan,” katanya pada sidang media.
Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS turut menegaskan pemerintahan Afghanistan ketika ini bukan kerajaan Taliban seperti didakwa sebaliknya telah mempunyai hubungan diplomatik dengan banyak negara.
Semalam, Lim yang juga pengerusi DAP menuntut Fadhlina memberikan penjelasan berhubung keputusan menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.
Beliau bertanya mengapa Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan lawatan sedemikian, lebih lagi daripada sebuah negara yang tak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia selain menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti.
Pada 16 Nov lalu, Fadhlina mengesahkan KPM menjadi tuan rumah kepada delegasi itu di mana mereka berkongsi pandangan mengenai pendidikan.
Delegasi itu turut menyertai beberapa siri perbincangan mengenai pendidikan semasa mereka berada di sini.
Terdahulu, KPM menjelaskan kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan itu telah mendapat panduan dan nasihat Kementerian Luar termasuk bantuan agensi lain berhubung tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program itu selesai.
Kunjungan itu juga usaha menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia dengan negara ini sedia memberikan bantuan pembangunan dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial Afghanistan.