Kementerian Perpaduan Negara bingkas sedia ‘tapak integrasi’, pupuk kebersamaan

Kementerian Perpaduan Negara bingkas sedia ‘tapak integrasi’, pupuk kebersamaan

Tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara telah anjur sekurang-kurangnya 300 program untuk mencapai tiga objektif utama.

national unity ministry
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menganjurkan banyak program untuk merapatkan jurang sosial dan menyatupadukan rakyat pelbagai latar belakang.
KUALA LUMPUR:
‘Tak kenal, maka tak cinta’, pepatah ini begitu sinonim dengan rakyat negara ini yang berbilang bangsa, agama, etnik serta kaum.

Atas dasar itu, Kementerian Perpaduan Negara sejak ditubuhkan pada 10 Mac 2020, giat menyediakan ‘tapak integrasi’ untuk masyarakat pelbagai latar belakang ini, berkumpul dan mengenali budaya masing-masing.

aaron ago dagang
Menteri KPN, Aaron Ago Dagang percaya keharmonian dalam kepelbagaian akan membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kemakmuran yang berkekalan.

Sekurang-kurangnya 300 program telah dianjurkan kementerian diketuai Ahli Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang itu bagi mencapai tiga objektif antaranya mengukuhkan perpaduan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan membentuk identiti nasional.

Objektif itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah, bertemakan ‘Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian’.

Semarak Kenegaraan

Segmen Semarak Kenegaraan tertumpu program menaikkan semangat patriotisme dan sifat sayangkan negara di kalangan rakyat, antaranya penghayatan Rukun Negara dan menghargai kepelbagaian Bahasa Kolokial sebagai ejen perpaduan.

Di bawah segmen itu, turut dianjurkan FoodUnites yang mengumpul pelbagai warisan makanan tradisi selain program Negarawan Kita untuk mendidik generasi muda mengenang jasa pemimpin negara.

Pemerkasaan muzium dan manuskrip turut diberi penekanan di bawah segmen itu.

national unity ministry
Karnival Liga Sukan Uniti mendapat sambutan menggalakkan peserta seluruh negara.

Semarak Perpaduan

Di bawah segmen ini, Kementerian Perpaduan Negara menyusun program yang membolehkan rakyat yang pelbagai turun padang, berkumpul, bersuai kenal serta berkasih sayang seperti Sambutan Minggu Perpaduan yang mendapat penerimaan cukup memberangsangkan begitu juga Citra Nusa Muzium dan Karnival Baca Perdana.

Penganjuran Liga Sukan Uniti turut mencatat penyertaan membanggakan dengan hampir 23,000 peserta membabitkan 2,300 pasukan seluruh negara selain kejayaan pelaksanaan Misi Sukarelawan Siswa di Sabah, Sarawak, Kedah serta negara jiran, Vietnam.

Kementerian juga mewujudkan Inisiatif Harmoni Madani dengan mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu ‘Faham, Hormat dan Terima’ untuk merai perbezaan agama, kaum dan budaya.

national unity ministry
KPN mahu konsep ‘Faham, Hormat dan Terima’ dihayati masyarakat berbilang bangsa untuk membina kehidupan lebih harmoni.

Komuniti Rahmah

Di bawah segmen ini, kerajaan menggariskan beberapa program beriltizam menaikkan taraf hidup dan menjamin kehidupan lebih selesa antaranya pemerkasaan komuniti Rukun Tetangga Progresif.

Ketika ini,152 daripada lebih 8,400 rukun tetangga di seluruh negara menyertainya dan diberi geran sebagai perintis menjana ekonomi komuniti setempat.

Menyedari kepentingan aspek pendidikan, kementerian itu menyediakan Biasiswa Tunku Abdul Rahman yang telah membantu sekurang-kurangnya 29 pelajar menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Sementara itu, kira-kira RM30 juta disediakan untuk kemudahan murid Tabika serta Taska Perpaduan seluruh negara.

Di bawah segmen itu juga, Kementerian Perpaduan Negara melantk 571 mediator komuniti bertauliah untuk menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan pertikaian kecil seperti berebut parkir kenderaan, bunyi bising dan buang sampah merata, tanpa perlu campur tangan pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.