Tarian colok mata: Penganjur mohon maaf, bayar kompaun RM10,000

Tarian colok mata: Penganjur mohon maaf, bayar kompaun RM10,000

Penganjur hantar surat permohonan maaf kepada kerajaan negeri dan PBT berhubung kesalahan itu.

menari kelantan
Gambar tular persembahan tarian mencolok mata dalam majlis makan malam anjuran sebuah syarikat perlombongan di dewan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Tanah Merah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganjur majlis makan malam yang menyediakan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah, Sabtu lalu, membayar kompaun berjumlah RM10,000 kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata surat permohonan maaf turut dihantar kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kesalahan itu.

“Penganjur menulis surat aku janji kepada PBT bahawa rujukan acara akan dibuat terlebih dahulu sebelum menganjurkan aktiviti selepas ini,” katanya lapor Kosmo.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata jumlah kompaun akan meningkat kepada RM50,000 mulai 1 Jan depan berikutan kerajaan negeri meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi kawalan dan pelesenan.

Menurutnya, individu atau syarikat yang mahu menganjurkan program hiburan dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan awal bagi memudahkan proses semakan sekali gus mengelakkan berlaku pelanggaran.

Sebelum ini, Hilmi mengesahkan PBT membuka kertas siasatan terhadap penganjur terbabit. Sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) turut disiasat kerana majlis itu diadakan di dewan sekolah terbabit.

Katanya, semakan dengan MDTM mendapati pihak penganjur tidak memohon permit untuk penganjuran acara terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.