Kakitangan Puspakom disyaki lulus kenderaan tak selamat ditemu siasat JPJ

Kakitangan Puspakom disyaki lulus kenderaan tak selamat ditemu siasat JPJ

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata pihaknya akan merujuk SPRM jika ada salah laku dan salah guna kuasa.

Kelmarin, JPJ melakukan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara bagi pastikan setiap kenderaan diperiksa di pusat itu patuh piawaian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kakitangan syarikat pemeriksaan kenderaan disyaki meluluskan kenderaan tidak selamat telah hadir memberi keterangan semalam.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Wangsa Maju itu hadir temu siasat di Putrajaya.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes itu untuk tindakan lanjut.

“Pihak JPJ sedang mengemas kini dan mempersiapkan kertas siasatan berkaitan kes berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku atau salah guna kuasa.

Kelmarin, dilaporkan JPJ melaksanakan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara bermula 9.30 pagi membabitkan 350 pegawai dan anggota bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di Puspakom mematuhi piawaian ditetapkan.

Kifli berkata, dalam tempoh dua jam, JPJ melakukan pemeriksaan terhadap 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan diambil tindakan, manakala tujuh kenderaan, iaitu lima kereta dan dua lori disita.

JPJ turut mengesan beberapa kesalahan dilakukan pemandu lori, antaranya menggunakan tayar celup selain komponen itu berada dalam keadaan uzur yang mungkin boleh meletup bila-bila masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.