
Kebakaran berlaku kira-kira 10 pagi itu memusnahkan 39 rumah setinggan kayu di penempatan berkenaan.
Pengarah Bomba Labuan Abdul Rahman Ali, berkata Bomba Labuan menerima panggilan kecemasan pada 10.47 pagi dan segera menghantar anggota bomba ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal dalam masa kurang sejam hasil kerjasama pantas dengan bantuan masyarakat dan berkesan mencegah kerosakan lebih teruk.
“Kami berjaya memadamkan api kurang daripada satu jam dan tiada kemalangan jiwa…tindakan pantas anggota bomba kami menyelamatkan ratusan rumah kayu lain di penempatan itu,” katanya menurut Bernama, di Labuan.
Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat.
Ini bukan kali pertama bencana sebesar itu melanda komuniti berkenaan kerana pada 2009 kebakaran serupa memusnahkan ratusan rumah di penempatan yang sama, menonjolkan kelemahan struktur kayu kepada bahaya kebakaran.
Bernama melaporkan, penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas, dilihat mengumpul barang-barang mereka dan mencari perlindungan sementara ketika pihak berkuasa menyelaraskan usaha bantuan.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud, berkata pasukan kecemasan bersama agensi tempatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang menghulurkan bantuan kepada keluarga terkesan.
Beliau berkata, terdapat 334 rumah di penempatan padat yang menempatkan kira-kira 1,700 penduduk.