Banjir: Mangsa di Pahang meningkat, Johor berkurang

Banjir: Mangsa di Pahang meningkat, Johor berkurang

Jumlah mangsa di PPS di Pahang mencatatkan sedikit peningkatan manakala di Johor, Sarawak dan Perak tidak jauh berubah.

banjir johor
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor Siti Rohani Nadir (kanan) memantau keadaan terkini paras air Sungai Johor di Jeti Tun Seri Lanang hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang mencatatkan sedikit peningkatan manakala di Johor, Sarawak dan Perak tidak jauh berubah.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Rompin yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Jawa setakat 8 malam ini meningkat kepada 168 orang daripada 40 keluarga, berbanding 152 orang daripada 36 keluarga petang tadi.

Menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka yang terjejas merupakan penduduk dari Kampung Pantai 3, 4 dan Kampung Jawa.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 2,584 orang berbanding 3,118 orang direkodkan petang tadi, yang berlindung di 31 PPS di empat daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan Kota Tinggi kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,354 orang, diikuti Pontian (643), Kluang (534) dan Johor Bahru 53 orang.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke dua PPS di Kanowit, Sarawak pada malam ini kekal 40 orang.

Sekretariat JPBN Sarawak memaklumkan PPS di Dewan Kompleks Sukan Kanowit menempatkan 20 mangsa banjir daripada 13 keluarga, manakala 20 mangsa lagi ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Nanga Ngungun.

Di Perak, jumlah mangsa yang terjejas kekal 31 individu melibatkan sembilan keluarga di daerah Manjung setakat 8 malam ini.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan kesemua mangsa dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.