
Bekas naib ketua Pemuda, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata sebagai sebuah parti melaungkan slogan “reformasi” sebagai asas perjuangan, maka demokrasi dalam proses pemilihan parti harus diraikan dengan saksama di semua peringkat.
“Meraikan demokrasi bermaksud membuka ruang kepada semua anggota memilih dan dipilih,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, dilaporkan dua jawatan tertinggi dijangka tidak dipertandingkan bagi memastikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli masing-masing kekal menjadi presiden dan timbalan presiden.
Setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Akin, berkata berlangsung perbincangan supaya jawatan tinggi termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi.
Ditanya sama ada cadangan itu melanggar prinsip demokrasi, beliau berkata perbincangan juga merupakan sebahagian proses demokrasi.
Namun, Syed Badli berkata Anwar memerlukan barisan kepimpinan lebih dinamik dalam memperkukuhkan agenda rakyat demi memastikan PKR terus kekal relevan dalam dunia politik.
Katanya, pemilihan parti adalah proses menilai semula prestasi setiap pimpinan PKR.
“Sekiranya seorang pemimpin itu dilihat sebagai berprestasi baik dan berupaya, tentunya akar umbi akan memilih untuk mengekalkan posisi dan begitulah juga sebaliknya.
“Justeru itu setiap pimpinan tidak perlu gentar melalui proses pemilihan sama ada memilih mahupun dipilih. Demokrasi itu bising sementara, senyap bererti tidak berani melakukan perubahan,” katanya.