Tiada pemandu kedua, JPJ saman 14 bas ekspres, persiaran

Tiada pemandu kedua, JPJ saman 14 bas ekspres, persiaran

Kesalahan lain turut dikesan dalam operasi khas di Plaza Tol Juru malam tadi termasuk tidak mengemas kini buku log dan kesalahan teknikal.

jpj pulau pinang saman bas
JPJ Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 14 bas ekspres dan persiaran di Plaza Tol Juru malam tadi atas kesalahan tiada pemandu kedua. (Gambar Facebook JPJ Pulau Pinang)
BUKIT MERTAJAM:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 14 bas ekspres dan persiaran malam tadi atas kesalahan tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300km atau melebihi empat jam berterusan.

Menurut jabatan itu, kesalahan lain yang turut dikesan dalam operasi khas di Plaza Tol Juru itu termasuk tidak mengemas kini buku log dan kesalahan teknikal.

“Operasi dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010),” menurutnya dalam kenyataan di Facebook.

Selain itu, JPJ Pulau Pinang turut mengeluarkan 228 notis saman bagi pelbagai kesalahan dalam ops khas bersepadu motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi.

Kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak mempamer pelekat ‘P’ serta mengubah suai motosikal tanpa kebenaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.