Saling memerlukan, MCA dijangka kekal dalam BN, kata penganalisis

Saling memerlukan, MCA dijangka kekal dalam BN, kata penganalisis

Azmi Hassan gesa MCA tidak terlalu melayan cakap-cakap ‘orang luar’ yang mahu parti itu disingkirkan daripada BN.

Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa wujud cadangan ‘orang luar’ agar parti berkenaan disingkirkan daripada Barisan Nasional.
PETALING JAYA:
MCA belum mempunyai kekuatan bergerak di luar Barisan Nasional (BN) manakala Umno memerlukan rakan komponennya itu untuk terus berjuang, kata penganalisis yang mengulas perkembangan mutakhir hubungan kedua-dua parti tersebut.

Keadaan itu timbul susulan pendedahan Presiden MCA Wee Ka Siong yang mendakwa wujud cadangan ‘orang luar’ agar parti berkenaan disingkirkan daripada komponen terbabit.

Malaysiakini melaporkan Wee dipetik berkata cadangan itu datangnya daripada pihak yang sebelum ini menuduh parti itu mengkhianati kaum Cina kerana bersekutu dengan Umno.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengancam menyaman Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor Law Yiak Kwang kerana merujuknya dengan nama julukan menghina. Tindakan Akmal turut dikritik Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng yang memintanya merenung mengapa orang bukan Melayu tidak menyukainya

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata tidak mungkin MCA akan dikeluarkan atau keluar daripada BN memandangkan kedudukannya yang longlai dan hilang pengaruh sejak beberapa PRU selepas 2008.

“Mereka belum menemui ramuan mujarab untuk pulih dari kejatuhan, dalam konteks ini MCA hanya mampu bertahan dan bergantung tanpa tali dalam BN.

“Sewajarnya Umno memposisikan MCA pada tugasan dan kedudukan selayaknya dalam kerajaan (untuk bantu memulihkannya),” katanya kepada FMT.

“Tindakan berbalas kenyataan antara pemimpin MCA dan Umno hanya mengukuhkan persepsi bahawa parti komponen BN mempunyai masalah sesama mereka.”

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula menggesa MCA tidak terlalu melayan cakap-cakap yang ada ‘orang luar’ mahu parti berkenaan disingkirkan daripada BN.

Menurutnya, kedua-duanya saling memerlukan dan mempunyai kepentingan bersama untuk berdepan cabaran lebih besar pada masa depan.

“Pertembungan keduanya saya lihat ‘agak bagus’ seperti perbezaan Umno dan DAP walaupun dalam kerajaan sama…seperti dengan MCA walaupun dalam komponen sama.

“Tiada sebab untuk Umno ingin menyingkirkan MCA kerana keberadaan parti itu memberi manfaat kepadanya,” katanya.

MCA dan Umno telah menjadi sekutu politik sejak zaman merdeka, bermula dengan Parti Perikatan, dan kemudian dalam BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.